Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan sambutan 100 PBM sempena HPBS 2021 peringkat kebangsaan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan sambutan 100 PBM sempena HPBS 2021 peringkat kebangsaan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Kerajaan hari ini memperkenalkan Indeks Daya Huni Malaysia atau Malaysia Livability Index yang akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, indeks itu diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui peranan PLANMalaysia.

Beliau berkata, pengukuran indeks itu juga memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira kesemua kriteria di bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4).

"Indeks Daya Huni ini juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN Ke-4 dengan didasari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat dicapai sebaiknya.

"Di seluruh dunia, daya huni atau livability menjadi satu instrumen penting dalam menarik pelaburan dan menjadikan persekitaran mesra pelabur.

"Ini termasuklah soal last-mile connectivity, akses kepada Internet, akses kepada kemudahan awam dan pelbagai lagi faktor yang diambil kira dengan menjadikan rakyat sebagai teras utama penerima manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis sambutan 100 tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia (100 PBM) sempena Hari Perancang Bandar Sedunia 2021 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Majlis sambutan itu bertemakan '100 Tahun Perancang Bandar Menerajui Malaysia Berdaya Huni, Makmur dan Sejahtera'.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia Datuk TPr Mohd Faidzal Hamzah.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin semua pihak termasuk kementerian dan agensi di peringkat Persekutuan mahupun negeri akan komited dengan pelaksanaan RFN Ke-4.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) berkata, RFN Ke-4 dibentang dan diluluskan dalam Mesyuarat MPFN Bilangan Ke-39 pada 22 Oktober lalu yang dipengerusikannya.

"Satu aspek yang penting dalam pembangunan negara adalah soal perancangan.

"Ia perlu dilaksana secara strategik dan holistik dari segenap sudut dan membabitkan pelbagai pemegang taruh.

"KPKT melalui PLANMalaysia sudah memuktamadkan dokumen RFN Ke-4. Ia adalah dokumen strategik yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan RMK-12," katanya.

Beliau berkata, RFN Ke-4 dirangka dengan tiga Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi negara makmur dan berdaya tahan dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:58 AM