Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Mangsa banjir yang akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) diharap jujur melaporkan sekiranya mereka bergejala bagi mengelakkan penularan Covid-19 kepada orang lain.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata, orang ramai diminta memaklumkan terlebih dahulu kepada petugas bagi memudahkan mereka dipindahkan ke lokasi yang bersesuaian.

Katanya, terdapat 20 PPS yang akan dibuka kepada individu didapati positif Covid-19 di semua daerah di negeri ini dan dipantau oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Oleh itu, saya merayu kalau misalnya berlaku banjir, kita mengharapkan kerjasama daripada semua pihak, terutama mangsa supaya bersikap jujur serta mengisytiharkan sekiranya ada gejala.

"Mereka kena maklum bagi memudahkan urusan untuk pemindahan. Kalau mereka tidak maklum, kita takut nanti susah hendak kawal dan mungkin ada jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

SAID (kanan) memeriksa khemah yang akan digunakan oleh mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SAID (kanan) memeriksa khemah yang akan digunakan oleh mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Turut hadir Ketua Unit Bencana JKM Kelantan Azizah Zakaria.

Mengulas lanjut Said berkata, seramai 354 kakitangan JKM Kelantan akan bertugas secara langsung untuk membantu mangsa banjir dan 4,800 ahli jawatankuasa yang dilantik termasuk sukarelawan yang ditempatkan di 539 PPS.

Katanya, bagi agihan bantuan banjir, terdapat 159 pangkalan hadapan, 17 stor bencana dan satu depot yang menyimpan keperluan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

"Bagi bantuan banjir ini, kita mendapat peruntukan sebanyak RM1.3 juta iaitu masing-masing RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM300,000 kerajaan negeri.

"Kita membelanjakan RM1 juta dengan membeli pelbagai barangan keperluan dan sudah diagihkan kepada pangkalan hadapan di semua daerah, manakala RM300,000 akan digunakan untuk penyediaan makanan kepada mangsa di PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:07 PM