Asrol Awang


Kuantan: Pahang merekodkan pengeluaran kompaun Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983 yang tertinggi di negara ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 1,746 kompaun berjumlah RM2.9 juta dikeluarkan atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di negeri itu bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Beliau berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah kegagalan mengimbas aplikasi MySejahtera iaitu 744 kes dan 517 kes tidak memakai pelitup muka .

"Bagi daerah pula, Kuantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 521 kompaun, diikuti Temerloh (284), Bentong (216), Rompin (193) dan Bera (121).

"Bagi tempoh sama, sebanyak 1,478 premis ditutup bagi aktiviti pencegahan dan pengawalan Covid-19 di negeri ini," katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi PPKHT sepanjang 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, beliau berkata, sebanyak 1,314 notis kesalahan dikeluarkan dengan nilai kompaun RM328,500.

"Daripada jumlah itu, katanya, 643 notis bagi kesalahan merokok di tempat makan, 292 notis merokok di kompleks beli-belah, 85 notis merokok di Hentian Rehat dan Rawat (R&R).

"Daerah Maran mencatatkan jumlah notis tertinggi dikeluarkan dengan 298 notis, diikuti Bentong (241), Bera (152), Rompin (114) dan Kuantan (100)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 2:22 PM
Dr Nor Azimi Yunus menunjukkan puntung rokok milik pengunjung di restoren selepas dikenakan kompaun, pada operasi bersepadu di sekitar Bandar Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Dr Nor Azimi Yunus menunjukkan puntung rokok milik pengunjung di restoren selepas dikenakan kompaun, pada operasi bersepadu di sekitar Bandar Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG