Amir Mamat


Masjid Tanah: Semua calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti selepas memenangi pilihan raya kelak.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya menerusi beberapa peguam parti sedang membuat persiapan untuk membolehkan semua calon menandatangani SD berkenaan, sejurus pengumuman rasmi senarai calon PRN esok.

"Kita sedang membuat persiapan pasukan peguam untuk meneliti tahap kesetiaan semua calon bagi memastikan tidak ada lagi seseorang yang menang atas tiket BN, melompat (keluar parti) supaya kestabilan politik di negara, terutamanya di Melaka terjaga.

"Langkah itu (menandatangani SD) perlu dilakukan kerana Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (Dun) masih belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti), maka kita terpaksa membuatkan aku janji ini.

"Beberapa lagi dokumen perjanjian lain akan ditandatangani semua calon esok dan satu daripadanya adalah SD itu sebagai peringatan kepada mereka, jika dah menang pilihan raya nanti, jangan senang-senang nak lompat parti pula," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Dun angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada Umno Negeri Sembilan di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Mohamad Hassan ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Negeri Angkat Negeri Sembilan kepada Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Mohamad Hassan ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Negeri Angkat Negeri Sembilan kepada Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno mengesahkan, 90 peratus muka baharu akan ditampilkan parti itu dalam membawa cabaran BN pada PRN Melaka.

Kata beliau, sebahagian daripadanya adalah calon muda yang berkelayakan serta mempunyai latar belakang politik dan pendidikan yang baik, sekali gus mampu menawan hati pengundi.

"Insya-Allah, mereka ini pun bukan sembarangan orang kerana mereka juga pemimpin di peringkat bahagian tetapi mereka dahulunya duduk lama di bawah.

"Jadi penyandang yang sudah berkhidmat kira-kira tiga penggal itu beri laluan kepada pemimpin pelapis di Dun masing-masing.

"Saya yakin, mereka (calon baharu) akan diterima pengundi pada PRN ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 6:30 PM