GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebanyak 24 kematian akibat Covid-19 dilaporkan sejak awal bulan ini, dengan Kuala Terengganu mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu tujuh kes.

Selain itu, Besut mencatatkan enam kes, Kemaman (empat), Marang (tiga), Kuala Nerus (dua) dan masing-masing satu kes di daerah Hulu Terengganu dan Setiu, manakala tiada kematian dilaporkan di daerah Dungun.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sebanyak 1,554 kes baharu positif Covid-19, dilaporkan dalam tempoh tujuh hari sehingga tengah hari ini.

"Walaupun kes baharu menunjukkan penurunan, orang ramai diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Pemakaian pelitup muka, amalan penjarakan sosial dan elakkan berada di kawasan tumpuan orang ramai serta sentiasa menjaga kebersihan diri antara kaedah paling berkesan untuk memutuskan rantaian Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan situasi terkini Covid-19 yang dimuatnaik melalui Facebook (FB) JKNT, kes positif tertinggi dilaporkan awal bulan ini membabitkan sebanyak 269 kes.

Sehingga jam 12 tengah hari ini sebanyak 186 kes baharu dilaporkan, berbanding 201 kes semalam.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 1,083 kompaun bernilai RM2, 755,500 dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB ) 1988 sejak awal tahun lalu.

Katanya, antara kesalahan dilakukan adalah tidak menggunakan MySejahtera ketika memasuki premis, tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

"Walaupun negeri ini sudah beralih ke fasa empat, Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi pematuhan SOP tetap perlu dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 12:15 AM