BOMBA sedang giat memadam kebakaran yang melibatkan tiga buah kenderaan di dua kediaman bersebelahan di Taman Jasmin, Jalan Tun Hussein Onn awal pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
BOMBA sedang giat memadam kebakaran yang melibatkan tiga buah kenderaan di dua kediaman bersebelahan di Taman Jasmin, Jalan Tun Hussein Onn awal pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Toyota Vellfire dan Honda City antara kenderaan yang musnah dalam kebakaran membabitkan dua kediaman bersebelahan di Taman Jasmin, Jalan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian pada 6 pagi, turut musnah adalah kereta Perodua Myvi.

Menurutnya, kebakaran itu hanya disedari oleh penghuni salah sebuah rumah pada 6.07 pagi lalu bertindak menghubungi talian kecemasan.

"Mereka kemudian keluar dari kediaman bagi menyelamatkan diri dan keluarga di kediaman bersebelahan difahamkan tiada di rumah ketika kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api sedang marak memusnahkan dua kereta di sebuah kediaman yang turut merebak ke kediaman bersebelahan," katanya.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa satu jam bagi memadam kebakaran berkenaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:01 PM