Kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Sebiew pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Sebiew pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Seramai 49 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sebiew, Jalan Masjid, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.45 pagi, kesemua penghuninya dikatakan nyenyak tidur sebelum terdengar jeritan memberitahu dua rumah sedang terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dibantu BBP Kidurong Andy bergerak ke lokasi sejurus menerima laporan pada 4.01 pagi.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian didapati api sedang marak memusnahkan kesemua lapan rumah jenis tidak kekal yang dibina berhampiran antara satu sama lain.

"Selepas 30 minit api berjaya dikawal sepenuhnya dan pasukan bomba menjalankan proses penyejukan bagi menggelakkan berlaku kebakaran berulang dan merebak ke kediaman lain.

"Hasil maklumat awal mendapati kesemua penghuni rumah yang terjejas berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya memaklumkan kesemua mangsa kini tinggal sementara di kediaman sanak-saudara.

Katanya, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 2:34 PM