Nuraliawati Sabri

Melaka: Kira-kira 100 penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan bagi memantau kemungkinan berlakunya kenaikan harga barangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, walaupun tiada pasukan khas yang digerakkan kementerian itu namun pegawai dan anggota penguatkuasanya akan berada di lapangan menjalankan pemantauan.

Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan untuk mengelak sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Dengan kapasiti hampir 100 penguatkuasa kita yakin dapat atasi masalah ini.

"Peranan proaktif ini diambil bagi melihat, meninjau dan memantau sebarang kemungkinan yang akan berlaku sama ada kenaikan harga makanan, barangan keperluan dan lain-lain," katanya selepas meninjau harga barangan dan prosedur operasi standard (SOP), di sebuah pasaraya di Taman Lagenda, di sini, tadi.

Rosol Wahid di Aeon Bandaraya, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Rosol Wahid di Aeon Bandaraya, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Menurut beliau, walaupun PRN kali ini berbeza dengan pilihan raya sebelum ini namun akan tetap menjadi tumpuan pengunjung.

"Walaupun PRN ini berbeza dengan pilihan raya sebelum ini, dengan kekangan berkempen tetapi orang (akan) datang ke Melaka untuk melihat dan melancong," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan pengguna supaya melaporkan sebarang kenaikan harga kepada KPDNHEP supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Bagi pengguna yang ada isu boleh laporkan kepada kami sama ada menerusi aplikasi Whatsapp atau menghubungi talian bebas tol untuk membuat aduan.

"Bagaimanapun mereka perlu mengemukakan resit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 7:17 PM