Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertimbangkan melaksana Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) lebih awal menjelang Aidilfitri ini, bagi memastikan hak pengguna terjamin.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, SHMMP yang sudah dilaksana sejak 2000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (dahulu Akta Kawalan Harga 1946) itu bertujuan menyekat kenaikan harga barang keperluan ketika musim perayaan.

Katanya, ia dilaksana ketika perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

"Kita memang buat harga syiling membabitkan barang keperluan seperti ayam, daging, telur dan minyak pada enam perayaan utama, dan kali ini ada cadangan ia diawalkan berikutan kenaikan beberapa barangan keperluan harian seperti ayam, daging dan sayur (ketika ini).

"Jadi kita akan kaji kebaikan dan keburukan jika diawalkan skim ini, namun saya beri jaminan tindakan akan beri kesan terbaik kepada pengguna di Malaysia," katanya ketika melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan pengguna di Pasar Chabang Tiga di sini, hari ini.

Kebiasaan SHMMP dilaksana beberapa sebelum perayaan dan berlangsung antara lima hari hingga dua minggu.

Mengulas mengenai kemungkinan wujud pembabitan kartel susulan kenaikan harga ayam ketika ini, Rosol berkata, pihaknya melakukan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

ROSOL (tengah) ketika meninjau bekalan ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
ROSOL (tengah) ketika meninjau bekalan ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.

"Penjual memaklumkan mereka mendapat ayam pada harga yang tinggi daripada peladang, yang mana peladang bagi alasan harga makanan naik (kos tinggi) tetapi secara logiknya, tidak mungkin harga makanan naik setiap hari.

"Jadi kita akan dapatkan harga di ladang untuk lihat sama ada betul atau tidak ia ada kaitan dengan kenaikan harga makanan atau mungkin dimanipulasi pihak tertentu demi mendapatkan keuntungan lebih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 12:38 PM