Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) yang dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara dibenarkan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan lesen.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pelantikan DDW dan DDR di seluruh negara bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, syarikat yang dilantik dibenarkan untuk menyimpan lebih 20 peratus daripada had simpanan lesen dalam situasi kecemasan seperti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau bencana alam.

"Sebagai contoh, biasanya mereka dibenarkan menyimpan 100 tan tetapi kali ini kita beri kebenaran untuk mereka simpan lebih 20 peratus sebagai persiapan SPP.

"Justeru, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana bekalan mencukupi selain merancang pembelian barang keperluan asas berdasarkan keperluan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan Tinjauan Status Bekalan Barangan Keperluan Pengguna menjelang SPP di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Rosol berkata, pemantauan secara berterusan di premis perniagaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas berada dalan keadaan mencukupi.

DATUK Rosol Wahid (dua kiri) dan Saharuddin Mohd (kiri) meninjau harga barang kawalan semasa program Tinjauan Status Bekalan Barangan Keperluan Pengguna menjelang total lockdown di Sabasun HyperRuncit.  FOTO Ghazali Kori
DATUK Rosol Wahid (dua kiri) dan Saharuddin Mohd (kiri) meninjau harga barang kawalan semasa program Tinjauan Status Bekalan Barangan Keperluan Pengguna menjelang total lockdown di Sabasun HyperRuncit. FOTO Ghazali Kori

Katanya, seramai 2,262 anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara turun ke lapangan setiap hari bagi memantau dan memeriksa keberadaan bekalan di setiap peringkat perniagaan termasuk runcit, borong dan ladang serta kilang.

"Sekiranya pemeriksaan mengesan berlaku masalah bekalan, tindakan segera akan diambil untuk menanganinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:13 PM