RAKAMAN video yang tular mengenai harga bendi naik mendadak. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN video yang tular mengenai harga bendi naik mendadak. FOTO ihsan pembaca
Yusmizal Dolah Aling


ORANG ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenaikan harga barang melampau diminta membuat laporan lengkap kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, dengan cara itu, penguat kuasa dapat menjalankan siasatan secepat mungkin bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, pihaknya maklum mengenai video seorang lelaki yang mendakwa wujud kenaikan pada harga bendi dan timun seperti yang tular di media sosial, semalam.

Menurutnya, di dalam klip terbabit tidak dinyatakan di mana lokasi sebenar menyebabkan pihaknya tidak dapat melakukan siasatan menyeluruh.

TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. FOTO Bernama
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. FOTO Bernama

“Kita minta orang ramai beri maklumat tepat. Nyatakan lokasi di mana supaya penguat kuasa kita boleh turun dan membuat siasatan apa yang sebenarnya berlaku.

“Kementerian sentiasa memantau isu kenaikan harga dan mereka yang didapati menaikkan harga sewenang-wenangnya akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Di dalam video yang tular itu, seorang lelaki mendakwa harga sekilogram bendi dijual antara RM12 hingga RM17 berbanding RM4 kebiasaannya.

Lelaki berkenaan turut mendakwa peruncit mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya berbanding dengan harga jualan oleh pekebun.

Turut ditimbulkan ialah harga timun yang dijual peruncit dengan harga RM6 sekilogram berbanding harga biasa RM4.

Rosol berkata, jika terdapat aktiviti mengaut untung berlebihan, ia di bawah tanggungjawab KPDNHEP untuk mengambil tindakan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada yang memberi laporan, buat video dan sebagainya, cuma saya minta maklumat yang diberi perlu terperinci untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:19 PM