Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan bekalan serta harga barangan pertanian sentiasa stabil.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, usaha itu juga untuk memastikan situasi menang-menang di antara petani dan pengguna, selain tiada pihak teraniaya termasuk pengguna.

"Kita memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana mereka jaga peladang, kita jaga pengguna.

"Kalau kita kekurangan ayam, kita tiada kuasa untuk keluarkan (bekalan) tetapi harga di bawah kita. Hubungan kita terlalu rapat, ada masalah kita akan bincang," katanya selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan minyak masak dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekitar Teluk Intan di sini, hari ini.

DATUK Rosol Wahid (tengah) mendengar penerangan daripada Mohd Fazli Hassan (kanan) turut bersama Azman Adam pada Operasi Pemeriksaan Pematuhan Akta 342 di Pasaraya Tesco. FOTO Sharul Hafiz Zam
DATUK Rosol Wahid (tengah) mendengar penerangan daripada Mohd Fazli Hassan (kanan) turut bersama Azman Adam pada Operasi Pemeriksaan Pematuhan Akta 342 di Pasaraya Tesco. FOTO Sharul Hafiz Zam

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sayuran di pasaran, malah penurunan harga berbanding ketika musim perayaan sebelum ini.

"Contohnya macam cili sebelum ini ketika musim perayaan kita tetapkan harga RM15 sekilogram, hari ini RM6 sekilogram.

"Harga ini bergantung kepada jenis kesegaran sayur tetapi kalau ada maklumat (kenaikan harga) boleh maklum kepada kita," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, 160 kes membabitkan syarikat dan individu yang gagal mematuhi SOP direkod mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan nilai kompaun RM1.09 juta.

Jumlah itu bagi tempoh 1 Jun hingga 11 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:49 PM