SUKARELAWAN melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri di Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional di  Telok Mas, Jumaat lalu. FOTO Syafeeq Ahmad
SUKARELAWAN melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri di Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional di Telok Mas, Jumaat lalu. FOTO Syafeeq Ahmad
BERNAMA

Melaka: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara maya pada 10 pagi, Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi catatan di Facebook berkata pengumuman calon itu akan dibuat menerusi Facebook UMNO Online.

"Pengumuman nama calon #BN live di FB #UMNO Online.

"Sabtu 6 Nov 2021, jam 10 pagi. Terima kasih memberi sokongan dan mengikuti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:34 PM