Roghini Dhevi (kiri) bersama Roopinder Kaur menghiaskan pelita tanah liat dan menyalakan cahaya di rumahnya di Tanjong Tokong, Pulau Pinang untuk perayaan Deepavali. Foto Mikail Ong
Roghini Dhevi (kiri) bersama Roopinder Kaur menghiaskan pelita tanah liat dan menyalakan cahaya di rumahnya di Tanjong Tokong, Pulau Pinang untuk perayaan Deepavali. Foto Mikail Ong
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Perpaduan Negara berharap sambutan Hari Deepavali tahun ini dapat menyemarakkan lagi semangat muhibah antara rakyat Malaysia supaya kekal bersatu padu demi Keluarga Malaysia yang disayangi.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataannya hari ini berkata, sambutan itu juga diharap dapat membawa harapan dan kekuatan kepada rakyat Malaysia dalam menghapuskan wabak Covid-19.

"Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut pesta cahaya ini, khususnya kepada mereka yang beragama Hindu.

"Hari Deepavali yang cukup sinonim dengan pelita dan cahaya disambut oleh penganut beragama Hindu untuk meraikan kemenangan dan kebaikan," katanya.

Menurut kenyataan itu, walaupun ia disambut oleh penganut beragama Hindu, kemeriahan dan kegembiraan perayaan ini turut dirasai dan diraikan oleh kaum-kaum lain.

"Baik dari menikmati muruku yang rangup mahupun manisan 'ladu' yang manis dan lazat, ataupun menghargai seni 'Rangoli' yang cantik dan berwarna-warni, pendedahan dan penerimaan elemen ini oleh lapisan masyarakat pelbagai bangsa menghidupkan semangat perpaduan Keluarga Malaysia.

"Walaupun dari pelbagai latar belakang dan perjalanan masing-masing, warna-warni kepelbagaian bangsa dan masyarakat Malaysia melakarkan Malaysia yang kaya dengan budayanya yang tersendiri," katanya.

Menurutnya, nikmati warna-warni perayaan secara selamat dan ikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya keselamatan dan kesihatan semua terus terjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 11:29 PM