Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui perutusan perayaan Thaipusam disambut penganut Hindu hari ini, mengajak rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk sama-sama terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Dalam perutusan menerusi laman sosial Facebook (FB) beliau, Najib berkata, Thaipusam adalah satu daripada contoh kekayaan kepelbagaian kebudayaan yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur kerana dikurniakan keamanan dan keharmonian dikongsi bersama pelbagai etnik.

"Hari ini, ketika rakan kita yang beragama Hindu meraikan Thaipusam di kuil di seluruh negara, marilah kita kukuhkan lagi perpaduan dan saling menghormati perayaan keagamaan satu sama lain," katanya.

Najib turut mengatakan kerajaan juga komited untuk terus berdiri di sisi serta bekerjasamadengan kaumIndia bagi mengharung segala rintangan bagi mencapai impian kaum berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 10:40 AM