Oleh Hazril Md. Nor

HAZRIL MDNOR faham bukan semua anak muda mengutamakan nilai perpaduan sebagai prinsip memotivasikan diri untuk berjaya.

Melalui perayaan besar-besaran termasuk Deepavali, ambil peluang untuk merapatkan diri mempelajari budaya kaum berlainan agama dan pada masa sama, kukuhkan perpaduan.

Selain Hari Raya Aidilfitri dan perayaan Tahun Baru Cina yang menjadi simbol sambutan perayaan utama di Malaysia, Pesta Cahaya atau lebih dikenali umum sebagai Deepavali juga turut disambut oleh penganut Hindu sebagai perayaan penting dan penuh kemeriahan.

Deepavali juga membawa maksud 'sebarisan pelita'. Menurut kepercayaan, memasang pelita membawa makna kecerahan mengatasi kegelapan dan keadilan menumpaskan kezaliman. Dengan erti kata lain, perayaan ini sangat menitikberatkan nilai positif sebagai elemen penting sepanjang sambutannya.

Perayaan yang disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara Oktober dan November) ini juga hari cuti Malaysia dan menariknya, ia terkenal dengan keunikan dan mempunyai maksud tersendiri.

Terdahulu, Gen Y sudah pun menerangkan secara jelas mengenai perayaan Deepavali ini bersama mitos dan upacara yang disambut oleh kaum Hindu di Malaysia. Kali ini, penulis ingin menyentuh isu mengenai elemen perpaduan yang sebenarnya boleh diperkukuhkan lagi melalui sambutan perayaan ini.

Di Malaysia terutamanya, masyarakat terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Justeru, tidak hairanlah jika perayaan Deepavali ini turut mendapat reaksi positif daripada kaum lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

Di negara kita, budi bahasa adalah elemen utama yang perlu diterapkan dalam semua orang terutamanya golo­ngan belia yang menjadi pelapis utama untuk memajukan ekonomi dan mengharumkan nama negara.

Justeru, di hari Deepavali yang penuh kemeriahan ini, budaya kunjung mengunjung perlu diamalkan. Jika diimbas kembali, budaya ini sudah pun menjadi suatu kemestian bagi generasi ibu dan bapa kita untuk mengeratkan perpaduan. Tapi dengan terbitnya teknologi yang kian maju, itu menjadikan anak muda lebih gemar bersosial di alam maya dan jarang mewujudkan elemen penting iaitu perpaduan sesama kaum.

Tiada pengasingan

Walaupun terdapat banyak pendedahan di media cetak dan elektronik, penulis percaya langkah itu positif dalam memberikan didikan dan pengajaran kepada ketua keluarga untuk sama-sama mengeratkan perpaduan antara kaum lain. Namun, golongan Gen Y terutamanya harus bangkit dan tidak perlu mengharapkan gerakan daripada ibu bapa sebaliknya mereka sendiri perlu tanam inisiatif untuk mengunjungi rumah rakan yang menyambut perayaan seumpama Deepavali, Aidilfitri dan lain-lain.

Melihat inisiatif dan langkah positif yang digerakkan kerajaan demi menyatukan perpaduan bangsa, kini tidak ada lagi istilah pengasingan dalam isu berkawan ketika menuntut di sekolah atau institusi pengajian tinggi. Justeru, perpaduan kaum boleh disemarakkan lagi melalui perayaan besar-besaran ini.

Sebagai generasi muda yang ingin menempuh pelbagai rintangan, ambil inisiatif untuk mewujudkan persaingan yang sihat dan mengeratkan hubungan persahabatan melalui sambutan perayaan ini. Banyakkan berkawan dengan mereka yang berlainan bangsa dan kaum agar pengetahuan kita lebih luas dan pada masa yang sama menjadikan kita insan yang sudi menerima pandangan dan teguran melalui cara yang berlainan.

Oleh itu, jadikan juga sambutan Deepavali ini sebagai landasan untuk merapatkan perhubungan antara kaum dan cara ini juga boleh dijadikan pendedahan kepada kita semua untuk mempelajari budaya kaum Hindu yang sebelum ini hanya serba ringkas saja kita mengetahuinya melalui pembelajaran di sekolah dan juga di Internet.

Dengan erti kata lain, kita sendiri boleh melihat bagaimana sesuatu perayaan utama itu disambut dan meneliti sendiri setiap upacara yang dijalankan. Bukan saja Deepavali, tapi juga perayaan lain yang masih belum diterokai sepenuhnya melalui pengalaman kita sendiri.

Pada masa akan datang, dengan bermulanya langkah ini diterapkan dalam hidup, tidak mustahil kita boleh mewujudkan identiti yang bertunjangkan nilai positif dan menjaga adab-adab dalam perkauman. Tiada lagi istilah memilih kawan dan rakan sekerja tapi sebaliknya mementingkan kejayaan dan peningkatan jati diri tanpa mengira bangsa dan agama.

Dengan itu juga, kita sama-sama meningkatkan ekonomi negara dan bersaing secara sihat ketika mengejar cita-cita dan merealisasikan impian bukan sebagai suatu identiti tapi sebagai masyarakat yang berfikiran terbuka dan mementingkan elemen budi bahasa yang menjadi kemestian.

Esok Hari Deepavali yang membawa seribu satu maksud dan menitikberatkan elemen positif seperti kebaikan mengatasi kejahatan. Sebagai generasi muda yang mengutamakan nilai positif seperti tiada jurang perkauman, eloklah kita mengunjungi sahabat-handai yang menyambut perayaan ini seterusnya membina lebih kukuh benteng persahabatan dan memperkasakan lagi budaya perpaduan yang menjadi keutamaan sebagai masyarakat majmuk di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:00 AM