GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan mayat lelaki reput di sebuah apartmen di Damansara Damai di sini, Ahad lalu supaya menghubungi pihaknya untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setakat ini identiti mangsa disahkan seorang pesara kerajaan berusia 62 tahun dan masih bujang.

"Pemeriksaan dilakukan pegawai kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mendapati mangsa sudah meninggal dunia dalam tempoh yang agak lama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis dimaklum penemuan mayat itu pada 3.40 petang, Ahad lalu dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat serta mengenal pasti punca kematian.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya tidak menemui unsur jenayah dalam siasatan awal kes dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara menunggu keputusan bedah siasat.

"Untuk itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:07 PM