GAMBAR kanak-kanak autisme yang dimuat naik ke Facebook selepas dia didapati hilang.
GAMBAR kanak-kanak autisme yang dimuat naik ke Facebook selepas dia didapati hilang.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tiada unsur jenayah dalam kes kanak-kanak lelaki autisme yang ditemui lemas di tasik kawasan rekreasi Taman Aman, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun itu daripada bapa mangsa pada 6.30 petang semalam.

"Menurut pengadu, anaknya didapati hilang semasa bermain dengan kembarnya di kawasan rekreasi terbabit.

"Bapa kanak-kanak itu dikatakan tertidur semasa memerhatikan dua anaknya itu yang sedang bermain.

"Pengadu kemudian cuba mencari mangsa di sekitar taman berkenaan, namun gagal sebelum tampil membuat laporan kehilangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrulnizam berkata, pengadu memaklumkan menerima panggilan daripada orang awam pada 6.50 petang yang memberitahu menemui mangsa.

"Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan terapung di permukaan tasik berkenaan pada jarak empat meter dari tebing.

"Pihak ambulans dari Hospital Sungai Buloh membuat pemeriksaan dan rawatan kecemasan terhadap mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan hasil bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati punca kematian mangsa adalah lemas.

"Tiada juga kesan kecederaan dan penderaan ditemui pada badan mangsa dalam proses bedah siasat berkenaan," katanya.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Bagaimanapun, pihak polis akan meneruskan siasatan kes ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan kecuaian oleh penjaga.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 9:54 PM