POLIS melakukan pemantauan bagi memastikan orang ramai dan pelancong di Manjung kekal mematuhi SOP. FOTO Ihsan PDRM
POLIS melakukan pemantauan bagi memastikan orang ramai dan pelancong di Manjung kekal mematuhi SOP. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Manjung: Polis mengeluarkan kompaun RM2,000 kepada dua lelaki yang didapati gagal menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap dan tidak lengkap tempoh 14 hari tarikh suntikan dos kedua vaksin di Kampung Sitiawan dan Teluk Senangin di sini, semalam.

Dua lelaki berkenaan antara 23 individu dikompaun selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada Op Covid-19 khas pemantauan pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pengunjung lelaki dari Gopeng dikompaun di Teluk Senangin selepas didapati belum cukup tempoh 14 hari bagi dos kedua vaksin Covid-19.

Menurutnya, lelaki berkenaan mengakui tahu status vaksinasi lengkap selepas tempoh itu, namun dia tetap mahu menyertai rakan ke Teluk Senangin untuk berjalan-jalan di pantai itu.

"Seorang lagi lelaki berusia 35 tahun dikompaun selepas didapati tiada sijil digital vaksin mahupun kad vaksinasi (sebagai bukti sudah mengambil dua dos lengkap vaksin untuk ke lokasi rekreasi).

"Lelaki dari Seri Manjung itu mengunjungi tempat rekreasi di kawasan memancing ikan Kampung Sitiawan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan 13 kompaun bernilai RM1,500 kepada individu dikesan gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera dan ia adalah kesalahan tertinggi dicatatkan.

Katanya, enam individu termasuk remaja lelaki berusia 14 tahun dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

"Remaja lelaki itu tak memakai pelitup muka ketika menjual aiskrim di Teluk Senangin dan memberi alasan pelitup mukanya jatuh ketika menunggang motosikal.

"Selain itu, kami mengeluarkan kompaun RM2,000 masing-masing kepada (pemilik) dua premis perniagaan kerana gagal menyediakan kod respons pantas (QR) di premis mereka," katanya.

Nor Omar berkata, operasi dilakukan di beberapa lokasi di Manjung, Lumut, Ayer Tawar, Sitiawan dan Pantai Remis dengan keseluruhan kompaun dikeluarkan bernilai RM36,500 kepada 21 lelaki dan dua wanita berusia 14 hingga 60 tahun.

Katanya, pihaknya kesal masih ada individu mengamalkan sikap ambil mudah atau sambil lewa dalam mematuhi SOP walaupun ia sudah dikuatkuasakan sejak pandemik Covid-19.

"Polis sentiasa memandang serius dalam soal pematuhan SOP terutama tempat pelancongan dan tumpuan orang ramai.

"Operasi dilakukan setiap hari bagi memastikan orang awam atau pengunjung di daerah ini terus mematuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:17 PM