Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis menerima 77 laporan daripada individu di daerah ini yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan itu diterima setakat 10 November lalu membabitkan pelbagai golongan dan latar belakang termasuk penjawat awam.

Katanya, antara alasan penolakan vaksin yang dinyatakan adalah bimbang sebarang implikasi dan meragui kandungan serta status vaksin berkenaan.

"Kita hanya menerima laporan dan kemudiannya ia dirujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rekod," katanya ketika ditemui pada program Erat Kasih Prihatin anjuran Rumah Ngaji Teluk Muroh dan Mercy Malaysia Perak Chapter di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Mercy Malysia Perak Chapter, Dr Dzulkarnaen Ismail dan Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh Datin Maziah Rafie.

Program itu menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 17 anggota dan pegawai awam IPD Manjung yang selesai menjalani kuarantin baru-baru.

Dalam pada itu, beliau berkata, 100 peratus warga IPD itu melengkapkan dua dos vaksin, malah sudah ada yang mengambil dos penggalak termasuk dirinya.

"Vaksin ini sebagai benteng dan ikhtiar kita dalam usaha melawan virus Covid-19 dan ia membantu mengurangkan risiko (kesan jangkitan lebih teruk) serta demi kebaikan bersama," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Nor Omar berkata, pihaknya mengeluarkan lebih 10 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara di pulau bebas cukai, Pulau Pangkor sejak kebenaran rentas negeri, bulan lalu.

Katanya, tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera menjadi antara kesalahan banyak dilakukan kerana sikap ambil mudah dan sambil lewa pengunjung.

"Jika tidak nampak kod imbasan itu mereka perlu cari atau tanya terus kepada pemilik premis. Kita perlu sedar pentingnya pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan imbasan MySejahtera untuk kesejahteraan kita bersama.

"Setakat ini kita melihat masyarakat menyedari kepentingan kawalan kendiri dan pengunjung ke Pangkor juga semuanya sudah mendapatkan dua dos vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:21 PM