Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Dua lelaki dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang kerana didapati merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak berkuasa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mereka masing-masing dari Kuantan, Pahang dan Perak Tengah memberi alasan mahu berjumpa keluarga dan urusan harian.

"Lelaki berusia 21 tahun dikompaun kerana rentas daerah, manakala seorang lagi lelaki berusia 28 tahun diambil tindakan kerana merentas negeri.

"Kedua-dua mereka tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa dan masing-masing dikompaun RM5,000 untuk kesalahan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, sebanyak 35 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan membabitkan jumlah keseluruhan RM71,500 untuk tempoh dua hari lalu.

Katanya, ia termasuk dua lelaki berkenaan dan lapan premis yang diarahkan menutup operasi kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka dikompaun berusia 15 hingga 64 tahun kerana tidak memakai pelitup muka, gagal merekod butiran diri dan mendaftar masuk ke premis selain tiada penjarakan fizikal serta tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.

"Orang ramai perlu sedar kadar jangkitan yang berlaku kini semakin tinggi dan diminta untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan supaya rantaian jangkitan Covid-19 diputuskan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 1:13 PM