Shamsul Iskandar (tengah) pada sidang media. FOTO NURALIAWATI SABRI
Shamsul Iskandar (tengah) pada sidang media. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: PKR menuntut penjelasan daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin susulan parti itu dikenakan kompaun RM10,000 oleh polis selepas satu program penerangan bergerak tanpa perhimpunan diadakan di Taman Krubong Jaya, di sini, malam tadi.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kompaun dikeluarkan selepas selesai ceramah diadakan parti itu kerana dikatakan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Jumlah ini tidak munasabah, tiada kontak fizikal dan perhimpunan. Yang hadir semalam hanya dua penceramah, petugas, media dan polis,

"Saya akan menulis sendiri surat kepada Menteri Kesihatan untuk menjelaskan perkara ini. Dari segi fakta, saya fikir perkara ini akan dibincangkan bersama peguam, buat masa ini belum ada tindakan lagi," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum program itu bermula di dua lokasi masing-masing di Taman Sri Krubong dan Taman Krubong Jaya, malam tadi, penganjur sudah memaklumkannya kepada polis.

"Mereka (polis) hadir dan membuat pemantauan tetapi tiada komunikasi berkait hal ini dan kompaun itu dikeluarkan untuk program di Taman Krubong Jaya," katanya yang tidak menolak akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ini berkata, memandangkan larangan perhimpunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berkuat kuasa sehingga 27 November depan, PKR cuba menggunakan pendekatan mengadakan ceramah bergerak menggunakan lori bagi memberi penerangan kepada pengundi.

"Perlu ada perincian, tidak boleh pukul rata kompaun RM10,000 untuk semua. Saya percaya ini tidak adil untuk kita yang cuba berwaspada dan observe (mematuhi) SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 3:36 PM