FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


Melaka: Polis akan memantau sebarang aktiviti yang membabitkan perhimpunan susulan larangan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua pegawai dan anggota sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada pihak, termasuk parti politik yang melanggar arahan berkenaan.

"Kita akan pantau mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan sebarang tindakan akan kita mengikut akta berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, KKM melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa hari ini hingga 27 November depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perhimpunan itu termasukpenganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak.

Larangan itu berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342.

Sebarang pelanggaran kepada peruntukan terbabit, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 342.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:56 PM