LAPORAN porta MyMetro
LAPORAN porta MyMetro
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis menegaskan kompaun RM4,000 dikeluarkan pihaknya membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bukan atas kesalahan memakai pakaian terdapat logo parti.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas polis mendapati individu berkenaan terbabit dalam program tinjauan mesra atau 'walkabout' dalam kempen pilihan raya itu.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Dalam kes ini, dikesan terdapat pelanggaran SOP iaitu tiada penjarakan fizikal, selain adanya tinjauan mesra yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen.

"Untuk isu itu bukan polis saman orang pakai baju parti, tetapi penganjur atau pengikut yang melanggar SOP ketika mengikuti calon yang memakai baju lambang Pakatan Harapan (PH). Bukan orang yang pakai baju lambang parti," katanya.

Katanya, kompaun dikeluarkan berdasarkan hantaran yang dibuat seorang pengguna laman Facebook yang memuat naik gambar berkumpul di kedai makan.

"Kejadian dikatakan berlaku pada 10 November dan dikesan oleh pasukan yang melakukan pemantauan 24 jam membabitkan pelanggaran SOP kempen pilihan raya.

"Susulan itu, pasukan pemantau membuat laporan pada 6.44 pagi semalam sebelum kertas siasatan dibuka dan mereka yang terbabit dipanggil untuk diambil keterangan," katanya.

Abdul Majid berkata, mana-mana pihak atau pemimpin yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil itu dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul atau tampil membuat laporan.

"Bukannya menggunakan media sosial. Kalau tidak puas hati dengan tindakan penguatkuasaan, janganlah guna media sosial atau pemberita kerana ia hanya menimbulkan kekeliruan," katanya.

Berita berkaitan

Calon PH dikompaun RM4,000 selepas didakwa berkempen

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 7:54 PM