Dua buah kepala keretapi penyelenggaraan jalan keretapi bertembung. FOTO Ihsan Balai Bomba Lipis.
Dua buah kepala keretapi penyelenggaraan jalan keretapi bertembung. FOTO Ihsan Balai Bomba Lipis.
Roselan Ab Malek


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) giat menjalankan kerja baik pulih bagi membolehkan perkhidmatan tren yang terjejas akibat pelanggaran dua jentera di antara Stesen Chegar Perah dan Stesen Kuala Lipis di Pahang, hari ini, kembali pulih.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KTMB memaklumkan perkhidmatan tren penumpang dari Stesen Gua Musang, Kelantan ke Stesen Kuala Lipis terjejas dan ditamatkan di Felda Chegar Perah, Lipis.

Semua 23 penumpang dan kru tren kemudian meneruskan perjalanan dengan van yang disediakan pihak KTMB.

Menurut kenyataan itu, kejadian yang berlaku pada 9.45 pagi itu membabitkan perlanggaran dua jentera penyelenggaraan landasan milik sebuah syarikat kontraktor.

Katanya, ia berlanggar di antara satu sama lain ketika terbabit dalam projek menaik taraf laluan kereta api sektor Pantai Timur.

"Dalam kemalangan itu, operator jentera berusia 40 tahun patah kaki kiri dan cedera di kepala, manakala pembantunya berusia 39 tahun cedera di kaki.

"Manakala dua lagi operator jentera berusia 27 dan 27 tahun hanya cedera ringan. Semua mangsa lelaki yang juga pekerja syarikat kontraktor dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis dan BBP Sungai Koyan, anggota Balai Polis Merapoh serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lipis turut berada di lokasi.

Katanya, insiden itu menyebabkan landasan tunggal laluan terbabit terhalang dan tidak boleh dilalui oleh tren lain.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 6:52 PM