Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengundi muda akan dibenar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya pilihan raya itu diadakan selepas 31 Disember ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pelaksanaan Undi 18 perlu dilaksanakan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang meminta jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi 18, ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

"Sebenarnya soalan Yang Berhormat tiada kena mengena dengan rang undang-undang hari iniā€¦kalau PRN (Sarawak) diadakan sebelum 31 Disember, ia masih tidak mengguna pakai yang baharu (Undi 18), tetapi kalau laksana (PRN) selepas Januari (2022)...kita kena akur dengan arahan mahkamah," katanya.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua berkata, ia secara amnya bertujuan memantapkan sektor perundangan dan perkhidmatan peguam bela di Sabah.

"Proses Penggubalan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 ini membabitkan pihak-pihak berkepentingan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia memenuhi ekspektasi yang diperlukan," katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan dengan suara majoriti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:24 PM