BERNAMA

Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan undi belah bahagian dijalankan berikutan peruntukan 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.

Beliau berkata tiada yang tidak menyokong rang undang-undang itu selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Dewan Rakyat. FOTO Arkib NSTP.
Dewan Rakyat. FOTO Arkib NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 7:08 PM