Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur merekodkan penurunan kes penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun sejak 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ia susulan operasi berterusan jabatan berkenaan dalam memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah di ibu kota.

"Berdasarkan statistik, sebanyak 12,949 kes direkodkan pada 2019 menurun kepada 9,048 kes (2020) manakala bagi tahun ini sehingga 24 Oktober lalu, sebanyak 7,765 kes direkodkan.

"Selain itu, seramai 16,949 individu ditahan membabitkan rampasan dadah bernilai RM29 juta pada 2019 manakala seramai 11,224 orang ditahan dengan nilai RM149 juta dadah dirampas pada 2020.

"Bagi tahun ini sehingga 24 Oktober lalu, seramai 9,732 individu sudah ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM49 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo.

Sementara itu, Azmi berkata, JSJN Kuala Lumpur akan melupuskan 776 kilogram (kg) dan 372 liter dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM39.36 juta yang dirampas dari 2008 hingga tahun lalu.

Menurutnya, kesemua dadah berkenaan akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, esok.

"Antara dadah utama yang akan dilupuskan terdiri daripada methamphetamine seberat 237 kg bernilai RM23.7 juta, kanabis 179 kg (RM8.96 juta), ketum 131 kg (RM13,000), heroin 55 kg (RM1.95 juta), kafein 14 kg (RM4,000) dan ketamin 10 kg (RM1.5 juta)," katanya.

Azmi berkata, pelupusan barang kes dilaksanakan mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207.

Tambah beliau, pihaknya turut melupuskan 13,935 kertas siasatan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang disiasat dari 1982 hingga 2015 dan selesai kes di mahkamah serta mendapat perintah pelupusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:14 PM
AZMI menunjukkan sebahagian gambar barang narkoktik yang akan dilupuskan ketika sidang media mengenai pelupusan barang kes narkotik di IPK Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
AZMI menunjukkan sebahagian gambar barang narkoktik yang akan dilupuskan ketika sidang media mengenai pelupusan barang kes narkotik di IPK Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin