Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-21 yang bermula dari 22 hingga 28 Mei menunjukkan penurunan sebanyak 4.1 peratus iaitu 13,076 kes berbanding 13,630 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-20).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini 4,502,579 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-21 adalah 25,360 iaitu terdapat penurunan sebanyak 15.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Purata kadar kebolehjangkitan Covid-19 (nilai Rt) juga menunjukkan penurunan sebanyak 1.1 peratus iaitu 0.93 berbanding 0.94 pada minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-21 menunjukkan peningkatan iaitu 4.2 peratus (15,278 kes kepada 15,925 kes) berbanding ME ke-20, menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,441,702.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian pada ME ke-21 pula menurun sebanyak 34.5 peratus iaitu kepada 19 kes berbanding 29 kes pada minggu sebelumnya, menjadikan kumulatif kematian kini 35,660.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun sebanyak 10 peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

"Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan bagi semua kategori pesakit. Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan menurun sebanyak 6.1 peratus.

"Secara keseluruhan, penggunaan katil bukan kritikal dan penggunaan katil PKRC tiada perubahan manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 17 peratus," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan dengan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.1 peratus dan bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 6.5 peratus.

Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital juga menunjukkan penurunan ketara iaitu 46.6 peratus, katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 4:27 PM