DZULKHAIRI (dua kanan) menunjukkan lensa kamera dan barangan lain yang dirampas susulan penahanan empat lelaki, Khamis lalu. FOTO Mary Victoria Dass.
DZULKHAIRI (dua kanan) menunjukkan lensa kamera dan barangan lain yang dirampas susulan penahanan empat lelaki, Khamis lalu. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Polis menumpaskan kegiatan samun kediaman yang aktif sekitar daerah ini, susulan penahanan empat lelaki, Khamis lalu.

Mereka yang berusia 23 hingga 36 tahun diberkas dalam dua serbuan berasingan di Skudai pada 3.30 petang dan 10 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya berjaya mengesan kumpulan itu hasil laporan terbaharu kes samun di Jalan Pulai 2, Kangkar Pulai yang membabitkan mangsa wanita berusia 30-an.

Katanya, kejadian dilapor berlaku pada 2 pagi, 9 Oktober ketika mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai guru sekolah rendah sedang tidur di rumah milik keluarganya.

"Dia dilapor bersendirian ketika didatangi lima lelaki bersenjatakan parang yang kemudian mengikat kaki dan tangannya menggunakan sarung bantal.

"Suspek melarikan pelbagai barangan berharga termasuk beberapa kamera, lensa dan aksesori kamera dipercayai milik kakak ipar mangsa yang bekerja di Singapura.

"Nilai keseluruhan kerugian dianggar RM70,000. Mangsa tidak dicederakan dan dia menghubungi talian MERS 999 untuk memaklumkan kejadian," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, serbuaan pertama di hadapan restoran di Jalan Mutiara Mas 1/2, Taman Mutiara Mas, Skudai menahan dua suspek dan merampas Honda Accord, manakala serbuan kedua di sekitar Taman Universiti, Skudai memberkas dua lagi suspek.

Katanya, pihaknya merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun dalam serbuan kedua, antaranya termasuk tiga beg jenama ONSMO, empat lensa kamera Canon, tiga unit kamera Canon, dua unit lampu tanpa wayar, dua unit bateri dan dua unit .

"Kita juga merampas seunit pemutar skru, pemotong besi, dua bilah parang panjang dan empat pasang sarung tangan kain," katanya yang memberitahu ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod lampau dengan seorang daripada mereka mempunyai 24 rekod jenayah termasuk samun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu baru diwujudkan dan aktif sekitar daerah ini serta modus operandi mereka adalah memilih kediaman untuk disamun secara rawak khususnya rumah tiada penghuni.

"Keempat-empat suspek kini direman lima hari mulai 22 hingga 26 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Kita sedang giat memburu seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 12:41 PM