Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Operasi menyelamat lima mangsa banjir yang terperangkap dalam rumah di Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, di sini cukup mendebarkan buat anggota bomba berikutan dua daripada mangsa disahkan positif Covid-19.

Sebaik maklumat disahkan, pegawai dan tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa menyarung persalinan lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum menaiki bot untuk menyelamatkan mereka.

Namun, ketika dalam perjalanan memindahkan mangsa banjir ke tanah besar, pasukan itu dikejutkan dengan insiden bot terbalik di sungai berhampiran yang membabitkan dua nelayan dan maklumat segera disalur ke pusat gerakan untuk bantuan.

Tidak lama kemudian bot penyelamat bersama anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) tiba dan semua mangsa diberi rawatan kecemasan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Itu bukanlah tragedi sebenar, sebaliknya sebahagian daripada simulasi penyelamatan mangsa banjir yang positif Covid-19 sempena persediaan menghadapi musim tengkujuh oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, kesiapsiagaan pasukan termasuk demonstrasi pemanduan bot yang berlangsung hari ini bertujuan menguji tahap kecekapan anggota dan memastikan aset dalam keadaan baik apabila digunakan kelak.

"Dua situasi yang dipaparkan itu antara kemungkinan yang akan dihadapi nanti dan disebabkan pelbagai persediaan perlu dibuat kerana kita tidak dapat jangka perkara berlaku," katanya yang memberitahu bot penyelamat yang terbabit jenis amfibia dan bot laju jenis 'kevlar' yang turut dikendali anggota wanita.

Anggota JBPM Kelantan membuat demontrasi pengendalian bot bagi menghadapi musim tengkujuh pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan Menghadapi Monson Timur Laut (MTL) di Sungai Pengkalan Datu, Sering hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota JBPM Kelantan membuat demontrasi pengendalian bot bagi menghadapi musim tengkujuh pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan Menghadapi Monson Timur Laut (MTL) di Sungai Pengkalan Datu, Sering hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Zainal percaya keupayaan dan kemahiran tinggi kakitangannya mampu dalam menyempurnakan tugas menyelamat, namun dalam masa sama berharap tidak berhadapan situasi luar jangka ketika tengkujuh.

"Bermula sekarang kita cuba memaksimumkan anggota yang bertugas. Walaupun 20 peratus daripada mereka dibenar bercuti, tapi kalau boleh cuba elakkan (ambil cuti)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:10 PM