Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangka pada Disember ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan membekukan cuti 711 anggota dan pegawainya sehingga 15 Januari depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, beku cuti berkenaan bermula esok.

Katanya, sebelum ini, pihaknya juga membekukan cuti untuk persediaan banjir bagi gelombang pertama bermula pada 4 November sehingga hari ini.

"Cuti dibekukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) gelombang kedua yang dijangka Disember ini dan berharap ia tidak kuat.

"Banjir gelombang pertama sebelum ini juga tidak kuat dan kita dapat mengawalnya.

"Selain itu, kita juga bersiap siaga dengan keanggotaan seramai 1,294 orang merangkumi anggota beruniform, Pasukan Bomba Bantuan dan Pasukan Bomba Sukarela yang terlatih bagi menghadapi musim banjir kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Jasamu Dikenang JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Zainal berkata, peralatan logistik iaitu bot sebanyak 47 buah termasuk sumbangan daripada kerajaan negeri Kelantan dan tujuh lori lori mencukupi untuk menampung keperluan membantu mangsa banjir di kawasan terjejas.

"Bot ini akan ditempatkan di lokasi banjir termasuk Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

"Selain itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu untuk memindahkan mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 2:39 PM
Jainal @ Zainal Madasin (tiga kiri) bersama penerima Sijil Perhargaan ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Jasamu Dikenang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Jainal @ Zainal Madasin (tiga kiri) bersama penerima Sijil Perhargaan ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Jasamu Dikenang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR