SEBAHAGIAN anggota bomba yang menyertai kursus selama empat hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN anggota bomba yang menyertai kursus selama empat hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


PEMANDUAN bot penyelamat secara zig-zag dan membuat pusingan lapan (8) atau 360 darjah kelihatan agak mendebarkan namun kaedah itu antara yang paling penting dalam penugasan misi menyelamat mangsa banjir.

Tidak cukup dengan itu, pemanduan bot pada sebelah malam dengan menyusuri sungai tanpa suluhan cahaya lampu sebaliknya hanya bergantung kepada cahaya bulan serta tebing sungai sebagai panduan mampu menterjemahkan kesulitan misi menyelamat.

Segala cabaran getir itu dilalui 40 peserta yang terdiri daripada anggota dan ketua balai bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan ketika menjalani Kursus Pengendalian Pemanduan Bot Menyelamat selama empat hari di sekitar sungai di Pengkalan Kubor serta Sungai Kelantan, baru-baru ini.

LATIHAN dijalankan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LATIHAN dijalankan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tugas menyelamatkan mangsa banjir secara jelasnya tidak semata-mata menaiki bot dan terus menuju ke lokasi mangsa terperangkap tapi banyak cabaran lain yang menunggu sebelum misi menyelamat itu boleh dianggap selesai.

Hal itu diakui Pengarah JBPM Kelantan, Md Salleh Sarbini, yang menyifatkan kursus sedemikian sangat penting dalam memberi pendedahan terhadap skil dan pengetahuan secukupnya sebagai persediaan dalam tugas menyelamat mangsa banjir.

"Dari segi senario setempat, situasi jenis banjir sesuatu negeri itu berlainan sama ada banjir kilat atau banjir monsun, keadaan aliran sungai dan ombak juga berbeza.

"Justeru itu, penugasan anggota penyelamat juga berbeza bergantung kepada situasi semasa banjir yang berlaku kerana banyak aspek yang perlu ditekankan. Mungkin ada kejadian yang berlaku secara tiba-tiba ketika misi menyelamat itu dilakukan sekali gus meletakkan anggota penyelamat dalam keadaan sentiasa siap siaga," katanya ketika ditemui di lokasi kursus di Sungai Pengkalan Kubor.

Md Salleh berkata, kursus tahunan itu yang juga adalah siri kedua bagi tahun ini masih menekankan beberapa modul yang sama dari segi teori dan praktikal namun memfokuskan kepada pemilihan peserta yang terdiri daripada ketua balai serta anggota yang baharu melaporkan diri.

Katanya lagi, dari segi teori dan praktikal di balai iaitu bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, peserta didedahkan dengan bot, enjin, komponen bot, cara penggunaan tali untuk menyelamat serta cara memarkir bot.

KURSUS Pengendalian Pemanduan Bot Menyelamat penting dalam penugasan misi menyelamat mangsa banjir.  FOTO Nik Abdullah Nik OmarLAH NIK OMAR
KURSUS Pengendalian Pemanduan Bot Menyelamat penting dalam penugasan misi menyelamat mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik OmarLAH NIK OMAR

"Pada hari kedua dan seterusnya, baharulah peserta didedahkan mengenai cara untuk menyesuaikan diri dalam air iaitu menerusi sesi 'water confident' iaitu memantapkan lagi skil menyelamatkan diri sekiranya terjatuh daripada bot sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

"Menggunakan lapan bot menyelamat, peserta juga diajar teknik pemanduan satu hala, bagaimana untuk menangani situasi bot terbalik serta cara memindahkan mangsa ke bot lain dalam keadaan bot masih bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail meluahkan rasa terujanya apabila terpilih bagi menjalani kursus itu yang disifatkan sangat penting kerana daerah itu antara paling awal dilanda banjir

akibat limpahan air dari Sungai Golok.

Beliau berkata, sepanjang sembilan tahun bertugas sebagai pegawai bomba, ini adalah pengalaman pertamanya sebagai peserta dalam kursus sedemikian selain mengakui mendalami banyak kepakaran baharu dalam tugas menyelamat mangsa banjir.

"Banyak ilmu baharu yang saya peroleh sepanjang kursus ini yang sememangnya sangat penting dalam berdepan kehadiran musim tengkujuh nanti kerana semua sedia maklum Rantau Panjang sentiasa menerima ancaman banjir setiap tahun.

"Antara modul yang paling menarik bagi saya sepanjang empat hari kursus adalah cara pemanduan bot pada sebelah malam yang saya kira sangat mencabar selain teknik pusingan 8 serta 360 darjah yang digunakan untuk mengelak sebarang halangan yang

dikhuatiri menerpa bot ketika tugasan menyelamat dijalankan," katanya.

PESERTA diajar teknik pemanduan bot dalam pelbagai situasi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PESERTA diajar teknik pemanduan bot dalam pelbagai situasi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagi anggota yang baharu bergelar anggota bomba, Mohamad Arif Saidi, 21, segala ilmu yang dipelajari sepanjang kursus akan dimanfaatkan sepenuhnya sebaik melaporkan diri di BBP Kuala Krai sejak beberapa hari lalu.

Dia yang berasal dari Bukit Besar, Terengganu itu berkata, sebelum ini langsung tiada asas mengenai aktiviti di air apatah lagi memandu bot serta menyelamatkan mangsa banjir.

"Walaupun hanya empat hari, kursus sebegini memberi pengalaman sangat berharga buat saya dan tidak sabar untuk memanfaatkannya sebaik diperlukan menjelang musim tengku

juh kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 7:00 AM