GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tiga lagi remaja yang terbabit menunggang motosikal secara melulu dan bahaya di Kilometer 14 hingga 16 di Lebuhraya Seremban-Port Dickson menyerah diri di Balai Trafik Port Dickson, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, tiga remaja berusia 17 dan 18 tahun itu menyerah diri pada 4.20 petang tadi.

Katanya, sebelum ini empat rakan mereka berjaya ditahan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka awal pagi semalam.

"Tiga rakan mereka yang dikenali sebagai Darwisy, Upa dan Afiq yang masih bebas ini hadir ke Balai Trafik Port Dickson pada 4.20 petang tadi untuk menyerah diri.

"Dengan itu mereka ditahan di Balai Trafik IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut menjadikan tangkapan keseluruhan seramai tujuh lelaki (remaja) dan pihak Polis percaya dapat menyelesaikan kes yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pada 17 Oktober lalu tular rakaman video kejadian di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, membabitkan tujuh penunggang motosikal dalam kejadian sebenar dipercayai pada 15 Oktober lalu hasil maklumat dari perakam video.

"Rakaman itu dimuat naik dalam laman sesawang Facebook dan juga dalam info 'N9 Info Trafik' yang dibuat oleh pemilik akaun tiktok_yulievannea.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga 15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun," katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Memandu /Menunggang Secara Melulu dan Bahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 9:36 PM