Aksi 'Lagak Marshall' kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai di lakukan dalam perjalanan daripada Kuala Sungai Baru, Melaka hingga kawasan Port Dickson. FOTO Ihsan Polis
Aksi 'Lagak Marshall' kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai di lakukan dalam perjalanan daripada Kuala Sungai Baru, Melaka hingga kawasan Port Dickson. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis sedang mengesan satu kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang membuat aksi 'Lagak Marshal' di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, insiden itu dipercayai dilakukan di jalan awam di daerah ini petang tadi seperti yang ditularkan di Facebook.

"Rakaman itu menunjukkan aksi marshal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui laluan itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan rakaman dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.

"Polis sedang mengesan individu yang terbabit dalam rakaman. Kita menyeru kepada mana-mana yang memiliki maklumat kejadian untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan ke pihak Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6472222 untuk tindakkan lanjut," katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21Akta Polis 1967, Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas) danKaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A) iaitu Kesalahan di garisan berkembar.

"Seseorang marshal tidak dibenarkan memberi apa jua arahan bagi tujuan menahan atau memberhentikan kenderaan atau melencong kehadiran tanpa kehadiran mana-mana pegawai polis atau juru iring daripada polis trafik.

"Polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan yang berlagak sebagai 'Polis Trafik' dalam mengawal lalu lintas yang mana boleh mendatangkan bahaya dan menyekat hak-hak bergerak di jalan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 10:37 PM