Remaja lelaki diberi bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Remaja lelaki diberi bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Remaja lelaki ditemukan lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Air Terjun Junjong, di sini, hari ini.

Mangsa, Iman Zulhakim Abd Rahim, 18, yang cuba diselamatkan beberapa pengunjung di kawasan air terjun berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.54 pagi memaklumkan kehilangan seorang lelaki dipercayai lemas ketika mandi di air terjun berkenaan.

"Susulan itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulim terdiri daripada pegawai dan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati mangsa sudah diselamatkan orang awam namun dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan anggota cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR)," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati remaja terbabit sudah meninggal dunia.

"Operasi tamat sepenuhnya jam 12.02 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:08 PM