FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Oleh Norul Awatif Romli


Langkawi: Seorang pelancong warga Taiwan maut dipercayai lemas ketika mandi bersama teman wanitanya di Tasik Pulau Dayang Bunting, di sini, kira-kira 10 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa Chiu Yan Lin, 20 tahun bersama teman wanitanya juga berusia 20 tahun berasal dari Pulau Pinang pergi ke tasik berkenaan untuk mandi-manda.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Tinggi, Mohamad Zabidi Che Teh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.28 pagi, sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Air Hangat, dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba anggota mendapati seorang lelaki warga Taiwan maut dipercayai lemas di kawasan tasik yang berkedalaman 10 meter kerana tidak menggunakan jaket keselamatan.

"Seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) memulakan operasi menyelam pada 12.02 tengah hari tadi untuk kerja mencari mayat mangsa," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian berjaya ditemui kira-kira dua minit kemudian dan dibawa ke Jeti Pelancongan Pekan Rabu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 2:50 PM