Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tema sambutan tahun ini membawa masyarakat kepada norma hidup yang menekankan prinsip dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, dan insani.

Menurutnya, kesemua nilai itu selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

"Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan, Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional sudah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.

"Dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu," katanya dalam ucapan sempena Sambutan Maulidur Rasul hari ini.

ISMAIL Sabri ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang disiarkan secara langsung di TV1.
ISMAIL Sabri ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang disiarkan secara langsung di TV1.

Ismail Sabri berkata, apa jua perbezaan, jadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan manakala sebarang persamaan, jadikan sebagai sumber kekuatan.

"Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

"Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul untuk menjadi suri teladan kepada seluruh umat manusia.

"Dengan kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah suri teladan yang terbaik umat manusia, kerajaan sudah dan akan meneladani inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh Rasulullah sebagai panduan dalam pentadbiran negara, demi kemakmuran Keluarga Malaysia.

"Untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang oleh kerajaan, demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, 'No one will be left behind'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 11:45 AM