Azman Adam (kiri) bersama Saharuddin (dua kanan) menguji ketulenan emas. FOTO GHAZALI KORI
Azman Adam (kiri) bersama Saharuddin (dua kanan) menguji ketulenan emas. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 42 kes penipuan ketulenan logam berharga di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ia membabitkan kes penipuan pembelian emas secara dalam talian, emas kurang berkualiti dan berat tidak sama seperti dicatatkan dalam resit jualan membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM53,463.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM7,700 kompaun dikeluarkan dan denda RM20,000 dikenakan kepada syarikat atau individu terbabit.

Katanya, pihaknya menerima 11 aduan berkaitan isu ketulenan logam berharga dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

"Daripada jumlah aduan itu, sembilan kes berjaya dikesan membabitkan rampasan RM3,950.

"Kami memandang serius isu membabitkan ketulenan logam berharga bagi melindungi hak pengguna dan mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga 1994) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Mana-mana syarikat atau individu gagal mematuhi mana-mana peruntukan di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 bagi pertubuhan perbadanan dan denda tidak melebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan ketulenan logam berharga di beberapa premis di sekitar daerah ini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Azman berkata, pihaknya giat melakukan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas ketulenan logam berharga di seluruh negara menggunakan dua set peralatan pengujian ketulenan logam berharga yang turut mengandungi Radas Sinaran Sinar-X atau lebih dikenali sebagai alat XRF.

Katanya, alat pengujian bernilai RM200,000 setiap satu itu diperoleh pada 2020 dan dikendalikan empat pegawai terlatih.

"Mereka akan bergerak ke seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan menggunakan alat pengujian itu.

"Kami akan menambah lebih banyak alat ujian XRF berserta bilangan Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) dan Pekerja Sinaran (PS) untuk mengendalikan alat XRF dari semasa ke semasa.

"Ia bagi membolehkan lebih ramai anggota penguat kuasa KPDNHEP berkelayakan untuk mengendalikan alat ini, sekali gus tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan akan dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh dan berkesan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:06 PM