ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran.
ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran.
SamadiAhmad

Putrajaya: Seorang pemandu treler sempat keluar menyelamatkan diri sejurus menyedari muatan kenderaan berat dibawanya terbakar mendadak.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi tadi, treler sarat membawa produk makanan itu terbakar di Kilometer 41.2, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) Nilai - Dengkil di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkata, pihaknya menerima maklumat dan panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.46 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan dibantu BBP Nilai bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian kami mendapati sebuah treler sedang terbakar.

"Pihak bomba menggunakan bantuan tangki air untuk memadam kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 3.27 pagi," katanya.

Menurutnya, kenderaan berat itu musnah 100 peratus namun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 4:38 PM