Rina (kanan) menyampaikan Anugerah Pingat Hang Tuah kepada Muhammad Hadif. FOTO Fathil Asri
Rina (kanan) menyampaikan Anugerah Pingat Hang Tuah kepada Muhammad Hadif. FOTO Fathil Asri
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: "Saya ada rasa takut tapi nak tok (moyang perempuan) selamat," kata Muhammad Hadif Syazwan Anas, 11, yang menyelamatkan moyangnya daripada dihanyutkan arus dalam tragedi kepala air di Yan, Kedah, 18 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tragedi itu mengorbankan seorang lagi moyangnya Ku Shuib Ku Abdullah, 91, dengan mayat ditemui di bawah timbunan kayu oleh anggota mencari dan menyelamat (SAR) selepas lima hari dilaporkan hilang.

Keberanian anak sulung daripada lima beradik mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Pingat Hang Tuah daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2021, hari ini.

Murid Tahun Lima Sekolah Rendah Al-Akhlak Al-Islamiah, Guar Chempedak, Kedah itu menerima piala, sijil dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menceritakan kejadian, Muhammad Hadif berkata, ketika itu hujan lebat dan dia bersama ibu, empat adik serta dua moyangnya berada di rumah manakala bapa di stor mengalihkan barangan disebabkan air mulai naik.

"Ibu suruh kami masuk ke dalam bilik kerana adik kecil menangis ketakutan manakala tok (moyang perempuan) dan wan (moyang lelaki) berada dalam bilik hadapan. Saya secara sukarela pergi menemani moyang sambil ditemani adik.

"Selepas itu, adik kembali ke bilik ibu untuk memaklumkan keadaan moyang. Pada masa sama, air semakin tinggi dan secara tiba-tiba saya bersama dua moyang dihanyutkan arus deras," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan di sini, hari ini.

Muhammad Hadif berkata, kejadian itu menyebabkan dia terpisah dengan kedua moyangnya dan tersangkut pada sebatang pokok.

"Apabila menoleh ke belakang, saya hanya nampak tok berada atas tilam tersangkut pada pagar manakala wan sudah tiada. Saya memberanikan diri pergi ke arah tok lalu memegangnya dan sebelah tangan lagi berpaut pada tiang berdekatan.

"Tidak lama kemudian, ayah datang menyelamatkan kami dengan membawa kami masuk ke dalam rumah semula," katanya yang bersyukur dan berterima kasih atas penganugerahan itu.

Sementara itu, ibu Muhammad Hadif iaitu Nur Hidayah Yusoff, 36, reda dengan kejadian yang meragut nyawa datuknya.

Menurutnya, dia gembira dan bersyukur atas anugerah diberikan kepada anaknya sebagai pembakar semangat untuk anak berbakti.

"Apa yang saya hilang (kematian dan kerosakan rumah), Allah gantikan dengan yang lain. Saya tidak pernah meminta apa-apa dan bersyukur semua anak selamat," katanya.

Katanya, ketika ini mereka sekeluarga menumpang di rumah ibunya yang terletak di daerah sama sementara kerja baik pulih rumah dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 3:35 PM