GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Empat lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau Along kepada warga tempatan yang bekerja di Singapura ditahan dalam serbuan di sekitar Bukit Pasir dan Taman Banang, Batu Pahat.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua individu berusia antara 23 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan pada 1.30 tengah hari Isnin lalu.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek terbabit mengaku terbabit dan menawarkan pinjaman antara 300 dollar Singapura hingga 1,000 dollar Singapura (RM900 hingga RM3,000) dengan bayaran bunga dikenakan sebanyak 20 peratus kepada peminjam.

"Suspek turut melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa serta keluarganya.

"Hasil semakan rekod jenayah mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes perjudian, kekerasan dan Along.

"Kesemua individu direman selama sembilan hari sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun keseksaan iaitu khianat melakukan dengan api ke atas kediaman dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 iaitu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor membuka sebanyak 168 kertas siasatan membabitkan perlakuan khianat Along dengan 123 kes daripadanya khianat simbah cat dan 45 kes pula baling 'molotov cocktail' sejak Januari lalu.

"Hasil risikan dan operasi dijalankan, JSJ Johor sudah menahan 45 individu membabitkan 12 kumpulan sindiket Along dengan 33 daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), 26 dikenakan perintah pengawasan dan tujuh dikenakan hukuman perintah tahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 2:43 PM