ISMAIL Sabri (dua, kanan) menunjukkan bakat melontar bola ketika melawat ruang acara sukan selepas melancarkan HSN2021. Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan). FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (dua, kanan) menunjukkan bakat melontar bola ketika melawat ruang acara sukan selepas melancarkan HSN2021. Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan). FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut bersukan sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021 dengan menyertai beberapa acara yang diadakan di perkarangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.

Antara aktiviti sukan yang disertai Perdana Menteri ialah senamrobik, bola jaring, bola keranjang selain meninjau aktiviti sukan permotoran.

Ismail Sabri turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton apabila berjaya menyempurnakan jaringan ketika mencuba aktiviti sukan bola jaring.

Terdahulu ketika berucap melancarkan HSN 2021 itu, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat untuk menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

"Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah," katanya.

Perdana Menteri turut menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Beliau melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 12:39 PM