Amir Abd Hamid


Putrajaya: Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS), hari ini, dilancarkan bagi memperkasakan pembabitan wanita dalam pelbagai bidang sukan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan pelan itu.

Katanya, pelan berkenaan mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

"Susulan itu juga, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan sudah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini.

"Jawatankuasa dianggotai 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

"Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan adalah satu dokumen komprehensif menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasa pembabitan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021 di Dewan Podium, Menara KBS, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalannya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melakukan gimik perasmian ketika merasmikan pelancaran Hari Sukan Negara 2021 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu(kiri). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melakukan gimik perasmian ketika merasmikan pelancaran Hari Sukan Negara 2021 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu(kiri). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Perdana Menteri berkata, pelan tindakan itu selaras Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Ia juga selari dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (atau CEDAW).

"Pelan disasarkan mampu meningkatkan pembabitan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan," katanya.

Pada masa sama hari ini beliau juga melancarkan Program Talent Identification and Development yang dinamakan Program MyTID KPM-KBS.

Ismail Sabri berkata, program melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia itu dianggarkan membabitkan seramai 500 guru tenaga penguji terlatih (dikenali sebagai Talent Eagle)

Katanya, program itu menyasarkan penyertaan seramai 60,000 murid sekolah rendah (Tahun1- Tahun 6) membabitkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.

"Menyedari kepentingan sukan sebagai satu daripada penyumbang kepada ekonomi negara, KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

"Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif ini bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global," katanya.

Bersandarkan analisis data ekonomi dunia, Ismail Sabri berkata nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion pada tahun lalu dan dijangka terus berkembang positif sehingga mencecah AS$599 bilion menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 10:04 AM