GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tindakan tiga lelaki mempamerkan aksi berbahaya di Kilometer 210 Lebuhraya Utara Selatan

arah utara berhampiran persimpangan Kajang mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tangkapan terhadap tiga suspek berusia 19 dan 20 tahun itu dilakukan pada 12.50 tengah malam.

Beliau berkata, ia hasil risikan dan Operasi Samseng Jalanan membabitkan sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman.

"Tindakan diambil hasil maklumat diterima dan berpandukan satu rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp.

"Rakaman video berdurasi 38 saat itu menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal berlumba sesama sendiri, menundukkan badan dan melakukan aksi zig-zag yang amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Unit risikan mengenal pasti salah seorang suspek menunggang motosikal jenis Yamaha menetap di Taman Puchong Perdana dan ke rumahnya untuk melakukan tangkapan sebelum menahan dua lagi rakannya yang masing-masing menunggang Yamaha 135LC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis saman atas pelbagai kesalahan terhadap tiga suspek terbabit.

"Semua suspek bersama motosikal mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu,"," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 8:58 AM