SPR komited melaksanakan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang 31 Disember ini. FOTO Arkib NSTP
SPR komited melaksanakan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang 31 Disember ini. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melaksanakan pendaftaran automatik sebagai pengundi kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas di dalam dan di luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, langkah itu akan dilakukan selepas undang-undang mengenainya dikuat kuasakan kelak.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited melaksanakan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang 31 Disember ini.

"Segala maklumat warganegara Malaysia pastinya akan turut sama didaftar sebagai pengundi dan mengikut peraturan serta undang-undang yang termaktub, tidak ada yang akan terkecuali.

"Ini bermakna mereka yang berada di luar negara, walaupun tidak berdaftar sebagai pemilih, mereka secara automatik akan berdaftar sebagai pemilih," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang bertanya sama ada pendaftaran automatik akan dipanjangkan kepada pengundi di luar negara dan Sabah serta Sarawak yang bermastautin di Semenanjung.

Mengenai soalan asal Maria yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk membenarkan pengundi (enfranchise voters) yang berada di luar negara dan warga Sabah serta Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia supaya dapat mengundi dari Semenanjung atau luar negara, Mas Ermieyati memaklumkan, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan salah satu kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih ialah bermastautin dalam mana-mana Bahagian Pilihan Raya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, SPR menentukan Bahagian Pilihan Raya seseorang pemilih berdasarkan kepada alamat pemastautin pemilih seperti di kad pengenalan.

Katanya, buat masa ini, kemudahan mengundi secara pos diberikan kepada pengundi dalam beberapa kategori termasuk Ahli dan kakitangan SPR; petugas pilihan raya; tentera, polis, Polis Pasukan Gerak Am (PGA) yang bertugas pada hari mengundi awal serta pengamal media yang bertugas membuat liputan pilihan raya di luar kawasan pada hari mengundi.

Selain itu, kakitangan bagi sembilan agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara-UTC, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara yang bertugas pada hari mengundi; pengundi Malaysia yang berada di luar negara (kecuali Brunei, Singapura, Kalimantan dan Selatan Thailand) serta Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara iaitu penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangan serta pelajar universiti/institusi tinggi sepenuh masa di luar negara dan pasangan.

"Bagi pengundi Sabah dan Sarawak yang bermastautin di Semenanjung, SPR menggalakkan pengundi untuk memohon pertukaran Bahagian Pilihan Raya berdasarkan tempat bermastautin terkini bagi memudahkan urusan pengundian bagi suatu pilihan raya umum atau kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 1:48 PM