GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Majikan yang ingin memohon insentif kewangan di bawah Program PenjanaKerjaya perlu menyediakan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani oleh pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, syarat itu dibuat bagi mengelakkan berlakunya tuntutan palsu seperti sebelum ini yang mana siasatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab menggunakan data pekerja untuk memohon.

"Bagi mengelakkan perkara ini berulang, saya minta Perkeso untuk ambil langkah tambahan iaitu majikan perlu keluarkan SD dan memberi bukti bahawa individu itu bekerja di syarikat mereka.

"Sebelum ini, syarat permohonan adalah mempunyai tanda tangan pekerja sahaja, jika hal ini dibawa ke mahkamah ia boleh dipertikai. Pekerja terbabit boleh mengatakan mereka tidak menurunkan sebarang tanda tangan.

"Tetapi dengan adanya SD ini, kita boleh ambil tindakan undang-undang kerana memalsukan SD," katanya kepada pemberita dalam sidang video secara dalam talian di sini, hari ini.

Saravanan berkata, sejak penularan Covid-19, Perkeso sudah menyelamatkan lebih dua juta pekerja daripada 300,000 syarikat dan agak mustahil untuk pihak berkenaan pergi ke setiap syarikat yang memohon PenjanaKerjaya untuk pengesahan pekerja.

"Sebab kita dapati, ada juga pekerja yang jadi kambing hitam dalam situasi ini. Jadi kita terpaksa memperketatkan permohonan ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan palsu terbabit, beliau berkata, majikan berkenaan dipercayai menyerahkan borang yang mempunyai tandatangan palsu 36 pekerja sebagai mengesahkan mereka masih berkhidmat di syarikat.

"Kes itu kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan, sekiranya perlu akan dirujuk kepada agensi penguat kuasa. Ingin ditegaskan bahawa mana-mana majikan yang membuat pemalsuan maklumat dan menggunakan data peribadi individu tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Selain itu, saya turut mengarahkan Perkeso untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang dibayar kepada mereka, sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan," katanya.

Saravanan turut menasihatkan pencari kerja untuk tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi di media sosial termasuk WhatsApp dan pihaknya memberi jaminan data peribadi yang diterima Perkeso tidak pernah dikongsi bersama pihak ketiga.

Sehingga semalam, beliau berkata sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu direkodkan dan daripada jumlah itu 187 kes masih dalam siasatan dan tindakan selanjutnya.

PenjanaKerjaya adalah program di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan merangsang permintaan pekerjaan dalam kalangan majikan serta meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpekerjaan dalam kalangan pencari kerja tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 5:59 PM