Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pembukaan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini, semalam memberi nafas baru buat peniaga roti canai, Mohd Najmudin Md Noor, 34, kerana membolehkan dia berniaga semula.

Katanya, dia memperkenalkan menu baru iaitu roti canai sotong bagi memenuhi citarasa pelanggan yang ingin kelainan menikmati kuah yang dicampur lauk untuk hidangan pagi dan tengah hari.

Mohd Najmuddin berkata, dia tidak menyangka mendapat sambutan dan permintaan di kalangan pelanggan yang sukakan menu baru itu.

Katanya, sebelum ini dia hanya menjual roti canai untuk dibungkus sahaja namun sekarang pelanggan boleh 'dine-in' di kedainya di Medan Selera dengan syarat lengkap dua dos vaksinasi.

Menurutnya, pelanggan juga bertambah apabila ramai yang sudah boleh merentas daerah.

"Minggu lepas saya cuma menggunakan 10 kilogram tepung gandum untuk menghasilkan roti canai tapi terpaksa ditambah 15 kg semalam disebabkan ramai pelanggan yang sudah mula datang untuk makan di sini.

"Setiap set menu roti canai akan diletakkan sotong bergantung pada saiz iaitu dua atau seekor yang turut ditambah dengan sebiji telur separuh masak dengan harga RM6 sepinggan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Najmuddin berkata, selain roti canai sotong, dia turut menjual pelbagai jenis roti canai lain yang menepati citarasa pelanggan di situ.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih pada kerajaan kerana membenarkan kami peniaga berniaga semula dan InsyaAllah selepas ini saya akan membuka cawangan di Sungai Petani dan Langkawi," katanya yang sudah 16 tahun berniaga roti canai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 12:04 PM
ROTI Canai Sotong. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ROTI Canai Sotong. FOTO Zuliaty Zulkiffli