FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 menjejaskan hampir keseluruhan ekosistem perniagaan termasuklah berkaitan pelancongan dan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga pelancongan pada 2020 adalah 3.5 juta orang, iaitu pengurangan sebanyak 2.9 peratus berbanding 3.6 juta orang guna tenaga pada 2019.

Beliau berkata, data guna tenaga dalam industri pelancongan merangkumi 34.5 peratus sektor makanan dan minuman; 33.4 peratus sektor peruncitan dan 17.4 peratus dalam perkhidmatan khusus pelancongan negara.

"Komponen guna tenaga dalam industri pelancongan adalah meliputi industri perkhidmatan penginapan; penyediaan makanan dan minuman (F&B); pengangkutan penumpang; agensi pelancongan dan penempahan lain; kebudayaan, sukan dan rekreasi; jualan runcit bahan api kenderaan; perdagangan runcit; dan perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara.

"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sudah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu menghidupkan semula aktiviti pelancongan demi memastikan kelangsungan pekerjaan dalam sektor ini.

"Antaranya dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan kemudahan pusat kuarantin membabitkan 378 hotel di seluruh negara yang bersetuju dijadikan Stesen Kuarantin Covid-19 bagi di bawah program kuarantin wajib ke atas individu memasuki Malaysia dari luar negara," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Santhara Kumar (BN-Segamat) menjawab soalan Su Keong Siong (PH - Kampar) mengenai jumlah yang kehilangan pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah diambil kerajaan untuk membantu golongan hilang pekerjaan terutama sektor pelancongan, hotel dan F&B untuk mendapat pekerjaan masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan kemudahan pusat kuarantin dan hostel sementara bagi pekerja asing sedia ada di Malaysia di bawah Program Penempatan Sementara Pekerja Di Hotel mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia.

"Kerajaan juga mengadakan kerjasama strategik bersama pihak industri seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS) bagi penggunaan fasiliti hotel dan pusat konvensyen untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Turut dilaksanakan, pembukaan sektor pelancongan dengan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung perjalanan bermula 16 September lalu.

"Inisiatif ini memberi nafas baharu kepada pengusaha pelancongan di pulau itu. Ia juga dijadikan penanda aras untuk penyediaan dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan lebih banyak gelembung, destinasi dan aktiviti pelancongan," katanya.

Menurutnya, Motac juga mengaturkan persembahan oleh buskers di beberapa Pusat Pemberian Vaksin Mega di seluruh negara untuk peluang penjanaan pendapatan kepada buskers serta pada masa sama menyediakan hiburan kepada petugas PPV dan penerima vaksin.

Beliau berkata, pihak kementerian sentiasa meneliti peluang seterusnya mempersiapkan penggiat industri untuk pembukaan pengoperasian semula destinasi serta aktiviti pelancongan, seni dan budaya di seluruh negara secara berfasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 2:05 PM