GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama membabitkan inap desa dan hotel, bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap serta menetap di negeri dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, dapat memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan terbabit.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengusaha inap desa dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis, mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menyatakan individu terbabit sudah menerima vaksinasi lengkap.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Motac melihat pengumuman kelonggaran oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, adalah satu langkah awal yang dapat memberikan kelegaan buat pihak industri yang sudah lama terjejas, berikutan penutupan sektor itu sebelum ini.

"Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini, dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan, yang telah digariskan oleh Motac," katanya dalam kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan Motac itu memaklumkan, kelonggaran itu sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada semua pihak yang terbabit, bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

Kenyataan itu menyatakan, kelonggaran tersebut juga secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan masyarakat yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik.

Muhyiddin semalam mengumumkan beberapa kelonggaran termasuk kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel untuk mereka yang menetap di negeri di dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, berkuat kuasa esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:55 PM